Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri
BELAIT, Selasa, 29 Julai. - Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) telah dimeterai di Bangunan MPABD, Kuala Belait, hari ini.
MoU tersebut antara lain bertujuan bagi memantapkan lagi objektif bersama untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang yang berkaitan dengan sekuriti maritim dan kepentingan keselamatan negara melalui pendekatan Whole of Government.
Selain itu, MoU tersebut juga membolehkan penubuhan Pangkalan Marin Daerah Belait (PMDB) yang dianggotai oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), dan Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan (PPMK).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN).
MoU ditandatangani oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad dan Ketua Eksekutif MPABD, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman.
Turut menandatangani selaku saksi ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, JPM, Awang Haji Ali Rahim bin Abdul Rahman, dan Penolong Ketua Eksekutif MPABD, Awang Fung Wai Chun.
Majlis turut dihadiri oleh Ahli-ahli JKN, pegawai-pegawai JPM, agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan serta MPABD, yang mencerminkan sokongan padu antara agensi terhadap kerjasama sekuriti maritim.
Acara diteruskan dengan lawatan ke bilik-bilik pejabat PMDB dan kawasan sekitarnya. Sejurus selepas majlis, rombongan yang diketuai Timbalan Pengerusi JKN dan Ahli-ahli JKN mengambil kesempatan melawat menara PPMK yang berkaitan dengan National Coastal Surveillance System yang terletak di Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait.